Apa masalah saudara

 Assalamualaikum, hello.

Hari ini pada tarikh yang sama 23 April pada tahun lepas kita baru sahaja mula berpuasa. Kita buat kali pertamanya menempuhi ramadan dalam suasana negara mula mendepani pandemik Covid-19, selepas sebulan Kerajaan mula mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) setelah lama  mengharapkan Kerajaan memperketatkan pergerakan untuk mengekang penularan wabak dari terus meningkat pada tahun lepas.

Kes baharu pada ketika itu dalam masih lingkungan 2 digit, pada tarikh ini pada tahun lepas - negara mencatatkan kes baharu sebanyak 73 kes. Masih di linkungan angka dua digit dan ketika itu bagi kita angka yang begitu besar dan tidak terbayang sedikitpun negara akan mencatatkan angka ribuan kes baharu secara harian. Ya kita masih di angka dua digit. Di tahun yang masih tiada vaksin.


(sumber telegram

Setahun berlalu, hari ini negara mencatat rekod kes baharu sebanyak 2,847. Angka kebiasaan setelah beberapa bulan dan masih tidak ada tanda-tanda untuk turun ke tiga digit. Dua angka masih jauh dalam harapan. Masih panjang perjalanan untuk kembali ke angkat dua digit. Ketika ini walaupun sebahagian golongan masyarakat telah pun mula divaksin, dengan varian virus Covid-19 yang semakin hebat menukar bentuknya tidaklah mustahil menyelinap masuk ke negara kita menerusi sekumpulan kecil rakyat atau warga asing yang berkembara dari luar negara. 

Saya, kamu  menjadi tidak sabar. Semakin ramai juga meluahkan rasa kecewa. Suara kekecewaan yang dahulunya hanya jauh di pendengaran kita semakin kerap diperbualkan

 Luahan-luahan ini kerap dibicarakan dikalangan perantau kota yang berjauhan dari keluarga. Bebanan perasaan yang tidak lagi mampu dibendung apabila jiwa semakin diusik setiap hari. Pudar harapan apabila apa yang diusahakan semakin tidak tahu akan ada hasilnya.Di tambah pula dengan undang undang pelanggaran sop menampakkan perbezaan antara dua darjat yang ketara. Menyinggung perasaan dan mengundang simpati ramai. Ketegasan harus dipraktikkan secara saksama kepada semua.

Tenteramkanlah bawang. Jika kerap-kali dikecewakan, di acah pasti akan melatah.  Tidak perlu menambah sekam pada bara yang sedang panas, menabur garam pada luka dengan kata-kata yang hanya mengeruhkan lagi perasaan. Diamkanlah keluhan ini dengan harapan baharu. kembalikanlah moral dan kepercayaan. Masih belum terlambat. 

Jangan disia-siakan pengorbanan, penat lelah barisan hadapan negara. Semoga mereka terus tabah, bertenaga dan semoga kita diberi kesabaran dan ketenangan dalam menjalani kehidupan seharian. Insyallah negara kita akan pulih, turun ke angka sifar dan perantau kota akan kembali ke pangkuan keluarga yang dirindui. Interaksi digital tidak mungkin dapat memenuhi fungsi deria sepenuhnya. Kerana kita manusia, bukan robot tidak bernyawa dan tidak berperasaan. 

Untuk kenangan.

Ramadan 11, 1442H 

/ohmeelo





Comments